Tiga hari lepas kami sekeluarga ke Pulau Pinang. Dalam masa tersebut, semua komunikasi tidak berkenaan diketepikan. Hati terkinja-kinja hendak meninjau web dan blog kegemaran seperti Malaysiakini, Amenoworld, Addin77 dan banyak lagi. Demi keluarga, semuanya diketepi.
Hari ini mulalah meninjau web dan blog kegemaran. Terkejut apabila membaca berkenaan pengosongan DUN Kajang. Lebih terkejut apabila melihat permainan politik politikus bernama Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI). DSAI telah lama dituruti sejak 1998 lagi dan hari ini diuar-uarkan menjadi calon Menteri Besar Selangor. Dunia kegilaan apakah ini?
Pada tahun 1998, ketika itu diri ini masih sedang belajar di ITM Shah Alam. Terkejut dan kecewa dengan tindakan Tun Dr Mahathir memecat timbalannya. Terkejut dan kecewa bukan kerana sokongan terhadap DSAI tetapi cara pemecatan dilakukan dan pengadilan yang diterima selepas itu.
Bersama di dalam aliran reformasi, hadir ke Masjid Negara, Dataran Merdeka dan sebagainya. Diri ini seringkali bermonolog memperingat diri bahawa bukan individu yang diperjuang tetapi matlamat hak rakyat. Bukan hanya diri ini sahaja berpendirian begitu malahan puluhan ribu rakan marhein berpendirian sama. Kerana itulah gerakan reformasi dekat di hati rakyat. Perkataan yang sering berlegar-legar di kotak ingatan adalah "...jika saya Timbalan Perdana Menteri boleh diperlaku begini, apatah lagi rakyat biasa yang boleh terus dikotak katik.."
Bersama gelombang reformasi tidak terhenti setakat menghadiri rapat di Masjid Negara, Dataran Merdeka, Kampung Baru malah sehingga sanggup mengikut saudara Ustaz Badrul Amin dan rakan-rakan lain berbuka puasa di tepi jalan, tepi longkong Hospital Kuala Lumpur menemankan DSAI di tingkat atas hospital. Tika itu telah bertanya diri ini, apakah diri ini telah berubah kepada mengagungkan DSAI?
Perubahan ini sebenarnya berlaku kerana diri ini melihat sendiri beberapa kejanggalan di dalam pendakwaan kes DSAI. Melihat bagaimana pegawai kehakiman yang kemudiannya diri ini kenali sebagai bos di ketepikan, dihantar ke 'cold storage' dan sebagainya. Diri ini mula yakin bahawa terdapat kesilapan di dalam kesnya. Apakah diri ini berubah kepada pemuja DSAI?
Kemudiannya pada petang hari Saiful Bukhari membuat laporan Polis dan media melapurkan pemimpin kanan sebuah parti politik dituduh meliwat, diri ini terus sahaja boleh mengagak siapa individu itu. Diri ini dan puluhan ribu jemaah reformasi 1998 dan rakyat Malaysia sudah boleh duga siapa. Pada ketika itu Barisan Alternatif baru dikenalkan sebagai Pakatan Rakyat mendominasi beberapa negeri di Malaysia. Pelbagai spekulasi timbul. Apakah pertuduhan kali ini benar?
Menuduh seseorang berzina tanpa mengemukakan bukti adalah satu kesalahan hudud yang dipanggil Qazaf. Diri ini tiada otoriti untuk menuduh sesiapa kerana tidak mahu dituduh menfitnah dan boleh dihukum Qazaf.
Begitulah diri ini di dalam politik Malaysia. Diri ini tidak menyokong individu kerana individu tetapi menyokong idea individu tersebut yang memihak rakyat. Diri ini orang susah, tinggal di kampung setinggan Kg Pasir Wardieburn. Hidup ini pernah merasi hidup semasa elektrik dan air belum terbekal dengan sempurna. Kesusahan itu mengajar bahawa kesilapan terbesar adalah kerana terlalu mempercayai orang lain untuk merubah nasib kita. Orang yang digantung harap pula digantung harap selamanya. Ini semua salah.
Peristiwa hari ini membawa erti baru pada kamus politik diri. Ahli politik akan buat apa sahaja menggunakan alasan rakyat demi kepentingan tertentu. Pergi jahanam dengan idea rakyat.
Pengosongan DUN Kajang bermakna PRK akan diadakan. Membuat PRK menggunakan wang dan wang tersebut berjumlahan yang banyak. Ratus ribu Ringgit Malaysia akan dihabiskan dan ianya sepatutnya diguna membantu rakyat kesusahan.
Ahli politik mempermainkan perasaan sentimen rakyat. Apakah atas alasan kepentingan rakyat maka PRK perlu diadakan?
Amat bersetuju dengan pandangan rakan-rakan lain bahawa sudah masanya rakyat tunjuk kepandaian mereka. Rakyat tidak redha dengan PRK yang membazir. Jom jangan hadir ke PRK dan menjatuhkan bilangan kehadiran sehingga 40% kehadiran sebagai tanda protes. Harapannya dengan itu Parti itu tidak akan dengan mudah mengosongkan mana-mana kerusi Parlimen/ DUN yang telah dimenangi dan mensia-siakan harapan rakyat. Diri ini masih condong ke arah hak rakyat dan bukan politikus.
No comments:
Post a Comment