Monday, January 27, 2014

Zaman Kegilaan?

Tiga hari lepas kami sekeluarga ke Pulau Pinang. Dalam masa tersebut, semua komunikasi tidak berkenaan diketepikan. Hati terkinja-kinja hendak meninjau web dan blog kegemaran seperti Malaysiakini, Amenoworld, Addin77 dan banyak lagi. Demi keluarga, semuanya diketepi.

Hari ini mulalah meninjau web dan blog kegemaran. Terkejut apabila membaca berkenaan pengosongan DUN Kajang. Lebih terkejut apabila melihat permainan politik politikus bernama Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI). DSAI telah lama dituruti sejak 1998 lagi dan hari ini diuar-uarkan menjadi calon Menteri Besar Selangor. Dunia kegilaan apakah ini?

Pada tahun 1998, ketika itu diri ini masih sedang belajar di ITM Shah Alam. Terkejut dan kecewa dengan tindakan Tun Dr Mahathir memecat timbalannya. Terkejut dan kecewa bukan kerana sokongan terhadap DSAI tetapi cara pemecatan dilakukan dan pengadilan yang diterima selepas itu.

Bersama di dalam aliran reformasi, hadir ke Masjid Negara, Dataran Merdeka dan sebagainya. Diri ini seringkali bermonolog memperingat diri bahawa bukan individu yang diperjuang tetapi matlamat hak rakyat. Bukan hanya diri ini sahaja berpendirian begitu malahan puluhan ribu rakan marhein berpendirian sama. Kerana itulah gerakan reformasi dekat di hati rakyat. Perkataan yang sering berlegar-legar di kotak ingatan adalah "...jika saya Timbalan Perdana Menteri boleh diperlaku begini, apatah lagi rakyat biasa yang boleh terus dikotak katik.."

Bersama gelombang reformasi tidak terhenti setakat menghadiri rapat di Masjid Negara, Dataran Merdeka, Kampung Baru malah sehingga sanggup mengikut saudara Ustaz Badrul Amin dan rakan-rakan lain berbuka puasa di tepi jalan, tepi longkong Hospital Kuala Lumpur menemankan DSAI di tingkat atas hospital. Tika itu telah bertanya diri ini, apakah diri ini telah berubah kepada mengagungkan DSAI?

Perubahan ini sebenarnya berlaku kerana diri ini melihat sendiri beberapa kejanggalan di dalam pendakwaan kes DSAI. Melihat bagaimana pegawai kehakiman yang kemudiannya diri ini kenali sebagai bos di ketepikan, dihantar ke 'cold storage' dan sebagainya. Diri ini mula yakin bahawa terdapat kesilapan di dalam kesnya. Apakah diri ini berubah kepada pemuja DSAI?

Kemudiannya pada petang hari Saiful Bukhari membuat laporan Polis dan media melapurkan pemimpin kanan sebuah parti politik dituduh meliwat, diri ini terus sahaja boleh mengagak siapa individu itu. Diri ini dan puluhan ribu jemaah reformasi 1998  dan rakyat Malaysia sudah boleh duga siapa. Pada ketika itu Barisan Alternatif baru dikenalkan sebagai Pakatan Rakyat mendominasi beberapa negeri di Malaysia. Pelbagai spekulasi timbul. Apakah pertuduhan kali ini benar?

Menuduh seseorang berzina tanpa mengemukakan bukti adalah satu kesalahan hudud yang dipanggil Qazaf. Diri ini tiada otoriti untuk menuduh sesiapa kerana tidak mahu dituduh menfitnah dan boleh dihukum Qazaf.

Begitulah diri ini di dalam politik Malaysia. Diri ini tidak menyokong individu kerana individu tetapi menyokong idea individu tersebut yang memihak rakyat. Diri ini orang susah, tinggal di kampung setinggan Kg Pasir Wardieburn. Hidup ini pernah merasi hidup semasa elektrik dan air belum terbekal dengan sempurna. Kesusahan itu mengajar bahawa kesilapan terbesar adalah kerana terlalu mempercayai orang lain untuk merubah nasib kita. Orang yang digantung harap pula digantung harap selamanya. Ini semua salah.

Peristiwa hari ini membawa erti baru pada kamus politik diri. Ahli politik akan buat apa sahaja menggunakan alasan rakyat demi kepentingan tertentu. Pergi jahanam dengan idea rakyat. 

Pengosongan DUN Kajang bermakna PRK akan diadakan. Membuat PRK menggunakan wang dan wang tersebut berjumlahan yang banyak. Ratus ribu Ringgit Malaysia akan dihabiskan dan ianya sepatutnya diguna membantu rakyat kesusahan.

Ahli politik mempermainkan perasaan sentimen rakyat. Apakah atas alasan kepentingan rakyat maka PRK perlu diadakan?

Amat bersetuju dengan pandangan rakan-rakan lain bahawa sudah masanya rakyat tunjuk kepandaian mereka. Rakyat tidak redha dengan PRK yang membazir. Jom jangan hadir ke PRK dan menjatuhkan bilangan kehadiran sehingga 40% kehadiran sebagai tanda protes. Harapannya dengan itu Parti itu tidak akan dengan mudah mengosongkan mana-mana kerusi Parlimen/ DUN yang telah dimenangi dan mensia-siakan harapan rakyat. Diri ini masih condong ke arah hak rakyat dan bukan politikus.

Tuesday, January 21, 2014

Aktiviti 19.01.2013 (2)



Tugasan selajutnya adalah menghantar Adri Hamizan ke SK Danau Kota 2 untuk latihan bola sepak. Ini adalah latihan hari pertama. Kelab yang ingin disertai adalah kelab yang berusia 2 tahun lebih. Setiba di SK Danau Kota 2, telah bertemu dengan pengerusi kelab, coach dan pembantu kelab. Semasa mengisi borang pendaftaran, diberitahu bahawa satu taklimat akan dibuat pada jam 10 pagi dan diminta untuk hadir mendengar taklimat. Jam tika itu menunjukkan waktu pagi berusia 9 jam. Oleh itu telah memutuskan untuk terus berada di sekolah sambil melihat latihan Adri, sambil itu dapatlah berkenalan dengan kelab ini.

Dilihat beberapa lagi keluarga datang menghantar anak-anak mereka. Pada satu ketika dilihat En Reza berbicara bersama dengan seorang perempuan India/ Punjabi. Perempuan tersebut hadir bersama anaknya. Katanya hari itu anaknya tidak hadir ke latihan kerana mempunyai perkara lain unuk diuruskan. Mereka sedang sibuk membuat urusan pendaftaran untuk kembali kepada Islam. Semua kami terbeliak mata mendengar katanya. Menurutnya kesusahan besar kembali kepada Islam adalah penerimaan ahli keluarga lain. Alhamdulllah kataku.

Setelah perempuan itu berlalu, lantas diambil kesempatan berbicara dengan En Reza berkenaan perkara tersebut. Perkaranya mudah sahaja bahawa untuk kembali kepada Islam menunjukkan kehebatan dakwah Islam berjaya dan Allah telah memberinya hidayah. Tapi masalah akan timbul selepas itu. Masalah dengan kita orang Islam adalah selesa dengan keadaan ini. Kita suka mendakwah mereka kepada Islam tetapi kita tidak terus membantu mereka selepas itu. Kita akan tinggalkan mereka dan anggap seolah-olah mereka seperti kita, walaupun bukan seorang mukmin tetapi kekal sebagai seorang muslim. Kita lupa tanggungjawab kita membantu mereka kekal di dalam Islam dan membantu mereka hadapi dugaan cercaan dari keluarga yang masih dengan agama asal.

Pada masa tersebut, mahu tidak mahu cerita zakat akan terungkit. Hairan bin ajaib apabila mualaf yang sepatutnya menerima asnaf zakat dinafikan haknya. Keseronokan yang sepatutnya diterima sebagai seorang mualaf akan diragut apabila haknya dinafikan. Terfikir juga duit zakat itu sebenarnya untuk siapa? Mengapa wang zakat yang sepatutnya diagihkan kepada yang berhak tidak dibuat secara proaktif. Mengapa perlu hanya satu pihak yang mencari sedangkan di satu pihak yang lain malas membuat perkara yang sama.

Bercerita tentang zakat teringat akan kisah saudara perempuan yang memohon bantuan zakat. Dirinya sebagai ibu tunggal dengan memelihara tiga orang anak dan berkerja sebagai pekerja biasa amat-amat memerlukan bantuan untuk meringankan bebanan. Setelah permohonan dibuat, sessi temuduga di pejabat telah diatur. Ini diikuti dengan temuduga di rumah pemohon. Semasa di rumah pemohon pegawai bertanya tentang peti tv yang dimiiki dan kerusi sofa yang diduduki. Jelasnya temuduga di rumah dibuat untuk membuat tafsiran bahawa pemohon yang meminta adalah benar-benar miskin. Miskin di sini bermakna daif. Ini bertentangan dengan takrif miskin di Malaysia iaitu berpendapatan di bawah RM1500 sebulan. Penemuduga tidak hendak tahu dari mana tv dan sofa didapati tetapi baginya apabila seseorang boleh memiliki dua barang ini, maka tidak tidaklah miskin barangkali. Kerana itu permohonannya ditolak.

Begitu juga dengan kisah sahabat yang membuat permohonan wang zakat untuk membayar deposit teksinya. Sebelum itu beliau hanya menyewa teksi rakannya. Dia bercita-cita untuk memiliki teksi sendiri. Berkerja secara tetap sebagai posmen dengan pendapatan RM1500 sebulan dan memiliki enam orang anak, kerja tambahan amat diperlukan bagi menampung pendapatan keluarga. Rakan ini saya kenali bukanlah seorang yang suka meminta-minta tetapi menebal muka ke pejabat zakat demi anak-anak dan isteri. Seorang yang kuat bekerja menambah pendapatan keluarga. Apa jadi dengan permohonannya? Ditolak.

Seperti yang telah dinyatakan bahawa ianya sesuatu yang mengaibkan apabila institusi yang sepatutnya banyak membantu Islam ini telah tidak menjalankan tugasnya secara efektif. Pendapat hina saya adalah apabila seseorang itu layak, dia buat permohonan, maka berilah. Tiada siapa yang suka meminta-minta, dan jika dia meminta bermakna dia amat perlu tambahan pula layak, mencukupi syaratnya, mengapa tapisan dibuat sebegitu ketat? Mengapa sehingga perlu ke rumah untuk temuduga kedua dan sebagainya. Alasan yang diberi adalah kerana ianya amanah Allah dan tidak boleh diberi semudahnya. Tapi pemberi alasan juga lupa bahawa Allah yang lebih mengetahui apa yang benar dan tidak. Cukuplah kita memberi apa yang hak.

En Reza cuba memberi jawapan yang sama dengan pegawai zakat. Menurut En Reza beberapa kali melihat seorang perempuan mengeluarkan wang zakat di BSN dengan memandu Myvi katanya. Ini menunjukkan bahawa mungkin yang meminta telah berjaya mengelirukan pegawai zakat. Saya pintas membalas dengan tegas nyatakan bahawa kita sebenarnya tidak tahu siapa perempuan itu dan kelayakannya. Jika dia layak, maka dia layak. Soal dia ada kereta, duduk di banglo mewah dan sebagainya bukanlah soalnya tetapi dia layak dan kerana itu dia minta dan berjaya.

Berbalik kepada cerita perempuan India/punjabi yang kembali kepada Islam tadi. Saya selepas itu mengarahkan Adri untuk berkawan rapat dengan anaknya. Saya cuba untuk pastikan bahawa kita boleh membantu mereka kembali kepada Islam, kita harus mampu mengekalkan mereka di dalam agama suci ini, agama Islam yang benar. Sesungguhnya Allah tuhan yang Esa. Aku bersyukur ke hadratmu Allah dan engkau kekalkan iman aku, keluarga aku dan seluruh muslimin di jalan ini Ya Allah.

Aktiviti 19.01.2013

Ahad adalah hari rehat hampir semua penjawat awam dan swasta di Malaysia. Tahniah kepada kerajaan Johor yang telah mengembalikan cuti kepada hari Jumaat, bermakna Ahad ini adalah minggu ketiga kakitangan awam bertugas. Tetapi di Kuala Lumpur kami masih berehat pada hari Ahad sehingga terbuka hati kerajaan menukar hari cuti Persekutuan.

Hari bermula dengan ke pasar tani Danau Kota untuk membeli juadah sarapan pagi. Malam semalam ibu mertua bersapa adik ipar Ila dan biras Ati bermalam di rumah setelah pulang menghadiri majlis kenduri di Jalan Kuching. Hmm.. apa juadah pagi yang istimewa tetapi berpatutan. Kotak fikiran menggambarkan capati dimakan bersama dalca dan kimma. Bajet ciput menanti tarikh keramat 23hb menjadi dalangan utama berbelanja lebih. Kalaupun yang boleh dibeli lebih adalah kangkung kerana menurut PM kangkung telah turun harga!

Di pasar tani isteri telah dipesan untuk fokus kepada matlamat utama iaitu sarapan pagi sahaja. Jangan jeling-jeling pada barangan lain. Tumpuan utama terarah kepada gerai capati. Congak-congak telah dibuat di hadapan gerai capati, tapi isteri berminat melanjutkan perjalanan ke beberapa gerai di hadapan. "Mungkin ada yang lebih menarik dan murah di hadapan," katanya. Suami ini membiarkan keputusan dibuat isteri kerana percaya pilihan 'menteri kewangan' rumahtangga ini pasti keputusan yang baik.


 'Menteri kewangan' berhenti di hadapan gerai nasi lemak bungkus. Meneka-neka 'kesukaan' keluarganya, kami bersetuju untuk menambil 7 bungkus nasi lemak dan 10 keping capati berserta kimma. Berasa syukur tidak melampaui bajet, kami pulang ke rumah. Mungkin ada 'benar' kata menteri bahawa kos hidup di Kuala Lumpur masih rendah kerana masyarakat 'masih mampu bersarapan pagi' di luar. Cuma kajiannya tidak melanjutkan bahawa dahulu bersarapan di kedai tetapi sekarangg bersarapan nasi lemak bungkus sahaja. Tidak apalah rakyat berkorban untuk kesenangan gerombolan.

Saturday, January 18, 2014

Sambutan Maulidur Rasul

12 Rabiul Awal setiap tahun disambut oleh setiap Muslim dunia. Sambutan tidak terhad pada tarikh 12hb sahaja malah meliputi sepanjang Rabiul Awal. Hari ini ada yang merintih sedih, ada yang gembira penuh takjub dan sebagainya. Semuanya kerana mengenang hari kelahiran Baginda Rasulullah SAW, pembawa rahmat kepada seluruh alam. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah dilahirkan sebagai muslim dan berdoa seluruhnya terus berada di jalanNya. 

Malam tadi telah hadir ke Surau Al Falah, Danau Kota bersama hero lelaki Adri Hamizan. Surau telah menganjurkan Majlis Sambutan Maulid peringkat surau. Jemputan hari ini adalah insan hebat iaitu Dato Dr Mufti Perlis.

Banner di hadapan surau Al Falah, Danau Kota
Adri Hamizan di sisi Dato Dr Mufti

Dato Mufti ini adalah antara yang dihormati kerana pandangannya muda. Santunan terhadap kesilapan dibuat dengan baik dan disokong dengan hujah yang mantap. Walaupun agak sedikit kecewa apabila Dato Mufti pernah manyatakan secara terbuka sokongan politik terhadap suatu parti siasah, tetapi sebagai muslim kita janganlah menjatuhkan hukum terhadap seseorang apatah lagi terhadap seorang mufti. Kekecewaan itu bukan kerana pilihan partinya yang disebut secara terbuka tetapi kerana seharusnya pandangan tersebut tidak dibuat secara terbuka. Ini kerana saya percaya kata-kata Mufti mempunyai darjahnya yang tersendiri di pandangan masyarakat.


Teringin juga sebenarnya pada kesempatan tersebut hendak bertanya mengenai satu video yang telah dimuat naik ke Youtube berkenaan anak tidak sah taraf. Pada video tersebut dikuatiri bahawa pandangannya telah diedit dan menunjukkan ianya di luar konteks. Ini kerana pada video tersebut, Dato mufti telah memetik dari Al-Quran: 33:5; "..Panggillah anak-anak itu dengan berbinkan bapa bapa mereka sendiri; itulah lebih adil di sisi Allah..". Sedangkan diketahui bahawa sebab penurunan ayat tersebut adalah berkaitan anak angkat Baginda Rasulullah SAW iaitu Zaid ibn Harithah. Zaid yang telah diambil sebagai anak angkat Baginda telah dibinkan dengan Muhammad. Perintah Allah pada 33:5 tersebut adalah untuk mengembalikan nama bapa Zaid kepada nama bapanya yang asal. http://www.youtube.com/watch?v=Sm7_TddxEvU



Ini adalah amat berbeza dengan anak tidak sah taraf. Oleh itu tercuit hendak bertanya kepada Dato Mufti berkenaannya. Sekiranya kekal seperti pandangan di dalam Youtube tersebut, nyata ianya boleh memberi impak yang besar terhadap anak tidak sah taraf ini. Namun hasrat ini digalang di dalam hati. Percaya dengan yakin, mustahil seorang mufti mengeluar hujah tanpa sandaran yang tepat. 



Kembali kepada tajuk Sambutan Maulidur Rasul, telah diceramahkan oleh ugamawan beberapa kali bahawa Baginda Rasulullah SAW tidak pernah menyambut tetapi ianya tidak pernah dihalang. Matlamatnya amat sihat sebagai usaha agar kita terus mengenali, menyayangi dan mengambil contoh sirah Baginda sebagai panduan. Mungkin cerita yang sama telah diceritakan kepada kita beratus kali, namun cerita tersebut tidak pernah cukup. Ia perlu terus diulang supaya kita akan terus mengingati Baginda. 



Sesungguhnya dengan menyanjung dan berselawat kepadanya, Baginda tidak sedikit pun perlu kepada pujian tersebut, sebaliknya kita yang belum tentu ini sangat perlukan bantuannya (syafaat). 


"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya. " (Surah Al-Ahzab: 56)

dan :


Rasul Allah bersabda ;

“Barang siapa berselawat terhadapku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.” (HR. Muslim)