Tuesday, January 21, 2014

Aktiviti 19.01.2013

Ahad adalah hari rehat hampir semua penjawat awam dan swasta di Malaysia. Tahniah kepada kerajaan Johor yang telah mengembalikan cuti kepada hari Jumaat, bermakna Ahad ini adalah minggu ketiga kakitangan awam bertugas. Tetapi di Kuala Lumpur kami masih berehat pada hari Ahad sehingga terbuka hati kerajaan menukar hari cuti Persekutuan.

Hari bermula dengan ke pasar tani Danau Kota untuk membeli juadah sarapan pagi. Malam semalam ibu mertua bersapa adik ipar Ila dan biras Ati bermalam di rumah setelah pulang menghadiri majlis kenduri di Jalan Kuching. Hmm.. apa juadah pagi yang istimewa tetapi berpatutan. Kotak fikiran menggambarkan capati dimakan bersama dalca dan kimma. Bajet ciput menanti tarikh keramat 23hb menjadi dalangan utama berbelanja lebih. Kalaupun yang boleh dibeli lebih adalah kangkung kerana menurut PM kangkung telah turun harga!

Di pasar tani isteri telah dipesan untuk fokus kepada matlamat utama iaitu sarapan pagi sahaja. Jangan jeling-jeling pada barangan lain. Tumpuan utama terarah kepada gerai capati. Congak-congak telah dibuat di hadapan gerai capati, tapi isteri berminat melanjutkan perjalanan ke beberapa gerai di hadapan. "Mungkin ada yang lebih menarik dan murah di hadapan," katanya. Suami ini membiarkan keputusan dibuat isteri kerana percaya pilihan 'menteri kewangan' rumahtangga ini pasti keputusan yang baik.


 'Menteri kewangan' berhenti di hadapan gerai nasi lemak bungkus. Meneka-neka 'kesukaan' keluarganya, kami bersetuju untuk menambil 7 bungkus nasi lemak dan 10 keping capati berserta kimma. Berasa syukur tidak melampaui bajet, kami pulang ke rumah. Mungkin ada 'benar' kata menteri bahawa kos hidup di Kuala Lumpur masih rendah kerana masyarakat 'masih mampu bersarapan pagi' di luar. Cuma kajiannya tidak melanjutkan bahawa dahulu bersarapan di kedai tetapi sekarangg bersarapan nasi lemak bungkus sahaja. Tidak apalah rakyat berkorban untuk kesenangan gerombolan.

No comments:

Post a Comment