12 Rabiul Awal setiap tahun disambut oleh setiap Muslim dunia. Sambutan tidak terhad pada tarikh 12hb sahaja malah meliputi sepanjang Rabiul Awal. Hari ini ada yang merintih sedih, ada yang gembira penuh takjub dan sebagainya. Semuanya kerana mengenang hari kelahiran Baginda Rasulullah SAW, pembawa rahmat kepada seluruh alam. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah dilahirkan sebagai muslim dan berdoa seluruhnya terus berada di jalanNya.
Malam tadi telah hadir ke Surau Al Falah, Danau Kota bersama hero lelaki Adri Hamizan. Surau telah menganjurkan Majlis Sambutan Maulid peringkat surau. Jemputan hari ini adalah insan hebat iaitu Dato Dr Mufti Perlis.
![]() |
| Banner di hadapan surau Al Falah, Danau Kota |
![]() |
| Adri Hamizan di sisi Dato Dr Mufti |
Dato Mufti ini adalah antara yang dihormati kerana pandangannya muda. Santunan terhadap kesilapan dibuat dengan baik dan disokong dengan hujah yang mantap. Walaupun agak sedikit kecewa apabila Dato Mufti pernah manyatakan secara terbuka sokongan politik terhadap suatu parti siasah, tetapi sebagai muslim kita janganlah menjatuhkan hukum terhadap seseorang apatah lagi terhadap seorang mufti. Kekecewaan itu bukan kerana pilihan partinya yang disebut secara terbuka tetapi kerana seharusnya pandangan tersebut tidak dibuat secara terbuka. Ini kerana saya percaya kata-kata Mufti mempunyai darjahnya yang tersendiri di pandangan masyarakat.
Teringin juga sebenarnya pada kesempatan tersebut hendak bertanya mengenai satu video yang telah dimuat naik ke Youtube berkenaan anak tidak sah taraf. Pada video tersebut dikuatiri bahawa pandangannya telah diedit dan menunjukkan ianya di luar konteks. Ini kerana pada video tersebut, Dato mufti telah memetik dari Al-Quran: 33:5; "..Panggillah anak-anak itu dengan berbinkan bapa bapa mereka sendiri; itulah lebih adil di sisi Allah..". Sedangkan diketahui bahawa sebab penurunan ayat tersebut adalah berkaitan anak angkat Baginda Rasulullah SAW iaitu Zaid ibn Harithah. Zaid yang telah diambil sebagai anak angkat Baginda telah dibinkan dengan Muhammad. Perintah Allah pada 33:5 tersebut adalah untuk mengembalikan nama bapa Zaid kepada nama bapanya yang asal. http://www.youtube.com/watch?v=Sm7_TddxEvU
Ini adalah amat berbeza dengan anak tidak sah taraf. Oleh itu tercuit hendak bertanya kepada Dato Mufti berkenaannya. Sekiranya kekal seperti pandangan di dalam Youtube tersebut, nyata ianya boleh memberi impak yang besar terhadap anak tidak sah taraf ini. Namun hasrat ini digalang di dalam hati. Percaya dengan yakin, mustahil seorang mufti mengeluar hujah tanpa sandaran yang tepat.
Kembali kepada tajuk Sambutan Maulidur Rasul, telah diceramahkan oleh ugamawan beberapa kali bahawa Baginda Rasulullah SAW tidak pernah menyambut tetapi ianya tidak pernah dihalang. Matlamatnya amat sihat sebagai usaha agar kita terus mengenali, menyayangi dan mengambil contoh sirah Baginda sebagai panduan. Mungkin cerita yang sama telah diceritakan kepada kita beratus kali, namun cerita tersebut tidak pernah cukup. Ia perlu terus diulang supaya kita akan terus mengingati Baginda.
Sesungguhnya dengan menyanjung dan berselawat kepadanya, Baginda tidak sedikit pun perlu kepada pujian tersebut, sebaliknya kita yang belum tentu ini sangat perlukan bantuannya (syafaat).
"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya. " (Surah Al-Ahzab: 56)
dan :
Rasul Allah bersabda ;
“Barang siapa berselawat terhadapku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.” (HR. Muslim)


No comments:
Post a Comment